• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
  • Edit
  • Dakwah Ini Milik Siapa?

    Jul 21, 2011
    Bismillahirrahmanirrahim...

    Assalamualaikum iftitah bicara buat yang sudi membaca...
    Dalam entri lalu yang dikongsikan, saya ada menyebut tentang pesan seorang sahabat, 'Hidup ini demi dakwah!'.

    Persoalannya, milik siapakah dakwah ini? Sebelum menjawab persoalan ini, ada baiknya andai kita melihat kembali apa yang dimaksudkan dengan dakwah. Dakwah secara mudahnya boleh kita ertikan sebagai mengajak. Mengajak yang bagaimana? Amar ma'ruf nahi munkar. Mengajak berbuat kebaikan dan mengajak menjauhi kemungkaran. Dan seandainya kita lihat lebih dalam lagi, itulah peranan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini;amar ma'ruf nahi munkar seperti yang disebut oleh Allah dalam surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud, "Kamu merupakan umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia. Kamu menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." Jelas di sini bahawa tugas dakwah itu adalah tugas kita, khalifah Allah.


    Mengapa hidup ini perlu disandarkan kepada dakwah? Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana memenuhi tuntutan hak syahadah (syahadatul haq) yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t. melalui lafaz syahadah yang sering kita perbaharui dalam solat-solat kita. Apa itu SYAHADATUL HAQ? Ia adalah pengakuan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.


    'Aku naik SAKSI bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik SAKSI bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah'.
    Terdapat perkataan SAKSI dalam lafaz kalimah syahadah yang selalu kita ulang-ulang dalam solat 5 waktu sehari semalam. Namun, tahukah kita tugas seorang SAKSI itu? Tanggungjawab saksi bukan sahaja setakat berpeluk tubuh akan tetapi berani bergerak ke hadapan untuk memberitahu manusia apa yang sebenarnya yang mereka saksikan.

    Begitulah juga dengan tanggungjawab kita! “Syahadah Al-Haq” bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan solat, puasa, zakat dan haji. Syahadah ini hanya akan terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Maksudnya di sini adalah kita perlu melaksanakan tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran. Di sini kita dapat melihat adanya tuntutan 'dakwah' terhadap diri kita. Kerana apa? Kerana kita sudah melafazkan syahadah yang merupakan JANJI kita kepada Allah.

    Selama ini kita mengaku bahawa kita seorang Muslim kerana kita telah melafazkan syahadah. Namun adakah kita telah menunaikan segala hak syahadah atau dengan kata lain MELAKSANAKAN DAKWAH danMENJADI DAI'E? Menjadi dai'e itu tidak semestinya kita berceramah di khalayak ramai. Di zaman moden ini terlalu banyak mekanisme atau metodologi atau wasilah yang boleh digunakan sebagai 'alat' dakwah. Dakwah itu boleh disampaikan melalui penulisan di blog, facebook, twitter, Yahoo Messenger, malah dakwah juga boleh disampaikan melalui perbuatan dan tingkah laku yang kita pamerkan.

    Dakwah ini milik siapa? Dakwah ini milik kita. Namun andai kita menolak tuntutan dakwah ini, kitalah manusia yang paling rugi. Kerana apa? Kerana kitalah sebenarnya yang memerlukan dakwah. Dakwah tidak memerlukan kita kerana dakwah akan tetap terus berjalan walaupun tanpa kita. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud,

    "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang membenarkan kebenaran perbuatan kamu."

    Ya 'hurrayyah...
    Ayuh! Aku, kau dan kita sama-sama bangun dan sedar akan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan ini...
    Semoga aku, kau dan kita terus diberikan kekuatan di jalan dakwah ini...
    Semoga aku, kau dan kita tidak tergolong dikalangan orang-orang yang ingkar... Na'udzubillah min dzalik!

    "Agar dunia menjadi saksi, kelak tiada alasan diberi..."

    Akhirul kalam,
    Nida an-Hafiyya

    0 comments: