• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
  • Edit
  • [PUISI] Aku Ithar Kamu!

    Jul 21, 2011


    Aku Ithar Kamu!

    Satu tika dia pernah berada di lubuk jahiliyyah
    Gelap, teraba-raba mencari cahaya
    Hingga satu ketika ada tangan menariknya
    Keluar dari lubuk itu
    Menghirup udara segar
    Senyuman mula terukir
    Ada sinar bahagia di mata

    Namun yang bernama 'hari' itu tak selalu cerah
    Gerimis mula turun membasahi
    Dia ketakutan
    Berlari ke sana-sini mencari perlindungan
    Bimbang gerimis kan bertukar menjadi ribut

    Dia bertemu sebatang pohon di pinggir jalan
    Lantas dia menumpang teduh di situ
    Tanpa dia sedar ada dahan dari pohon itu yang bakal menimpanya
    Dan mereka yang menyedari sekadar memandang
    Tanpa sedikit pun memberi amaran
    Apatah lagi menasihatkan
    Dan di saat akhir dia tersedar
    Lantas dia sekuat hati menjauh
    Cuba berlari dan terus berlari
    Menjauhi pohon itu

    Hari bertukar cerah
    Namun pohon itu menjadi igauan
    Igauan yang tetap terus mengekori
    Tanpa dia sedari

    Hujan ujian turun lagi
    Namun dia tetap berdiri di dalam hujan
    Berdoa dan berdoa kepada yang Mencipta
    Igauan pohon datang lagi
    Lantas dia tertanya-tanya
    Mengapa dulu mereka yang melihat sekadar melihat?
    Di mana ithar mereka?
    Bukankah aku ini sahabat kalian?
    Atas dasar apakah hubungan ini dibina?
    Mengapa tega kalian membiarkan diriku ditimpa dahan itu?

    Air mata membasahi pipinya
    Mengapa yang Mencipta menguji sedemikian rupa?
    Sudahlah dari lubuk jahiliyyah
    Kesilapan dilaku tidak ditegah
    Kemaafan dihulur entah disambut atau tidak
    Sufikah mereka?
    Tidak pernah melaku dosakah mereka?
    Atau dirinya terlalu hina?

    Ada suara menyapa
    Jangan bimbang!
    Andai dirimu tercampak ke jurang neraka sekalipun,
    aku akan terjun dan menarik dirimu keluar!
    Moga nanti kita dapat berpimpin tangan menuju ke syurga!
    Aku ithar kamu, sahabat!
    Kerana hubungan ini kujalin atas dasar keimanan!

    [NaH]
    Nida An-Hafiyya
    2159
    060711
    Secrets
    Puisi Aku Ithar Kamu!


    Coretan Nida An-Hafiyya

    Puisi ini saya hasilkan untuk menyebarkan mesej ITHAR! Menyintai sahabat melebihi diri sendiri. Indahnya hidup andai hubungan persahabatan dibina atas dasar keimanan. Persahabatan kerana Allah itu tidak mengharapkan balasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu banyak dugaan dan cabaran.

    Setiap insan tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukan ditinggalkan atau dibiarkan terus dengan kesilapan dan dosanya tanpa ditegur. Di sinilah peranan seorang sahabat andai benar hubungan yang dibina itu atas dasar keimanan, andai benar persahabatan kita kerana Allah. Maka sebagai sahabat, jika kita lihat ada sahabat kita yang 'terjun' ke dalam neraka, yang perlu kita lakukan ialah menarik tangannya, bukan menghentaknya jatuh semakin dalam. Kita akan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar dalam persahabatan iaitu sama-sama berpimpin tangan menembus ke syurga Allah. Lihatlah pada MATAHARI, sinarnya tidak pernah terhenti melainkan kiamat memuncul diri. Kala malam menjelma, bulan mewakili, memancar dan menyuluh cahaya kesedaran. Ayuh, kita hulurkan tangan atas namaPERSAHABATAN! Jadi seperti MATAHARI!

    *ithar = menyintai sahabat melebihi diri sendiri

    0 comments: